DARAH CAIRAN YANG KELUAR SEWAKTU WANITA MENGANDUNG DAN MENOPOUSE

Khamis, 14 April 2011

Hukum Pemberian dan Penerimaan Upah Mengajar Al-Quran

Mengajar orang membaca al-Qur’an adalah satu tugas yang mulia di sisi Allah s.w.t. Bahkan ia merupakan fardhu kifayah yang mesti dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Namun timbul persoalan mengenai hukum membayar upah kepada guru yang mengajar al-Qur’an. Bagi menjawab persoalan ini, amat wajar sekiranya direnungi terlebih dahulu ketetapan hukum mengajar al-Qur’an pada zaman Rasulullah s.a.w yang menunjukkan bahawa perbuatan menerima upah hasil dari usaha mengajar al-Qur’an adalah perbuatan yang dilarang.

Menerusi sunan Abi Dawud diriwayatkan daripada Ubadah Ibn al-Samit, beliau berkata :

“Aku mengajar masyarakat daripada golongan al-suffah menulis dan membaca al-Qur’an. Maka salah seorang di antara mereka memberi sebusur anak panah kepadaku. Aku berkata anak panah ini bukan harta dan aku dapat menggunakannya dalam jihad fi sabilillah. Aku akan datang menemui Rasulullah s.a.w. dan aku akan bertanya kepada Baginda. Maka aku datang menemui Baginda. Lalu aku berkata: “Ya Rasulullah, seseorang telah memberiku hadiah sebusur anak panah, orang tersebut di antara orang yang aku ajari menulis dan membaca al-Qur’an, dan ia bukanlah harta dan ia juga dapat aku pergunakan dalam jihad fi sabilillah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : “Kalau kamu ingin diberi rantai lehermu daripada api neraka, maka terimalah hadiah itu.”

Menerusi hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang mengambil bayaran dengan sebusur anak panah atas usaha mengajar al-Qur’an, maka Allah akan melingkari lehernya dengan sebusur anak panah daripada api neraka.”

Baginda Rasulullah s.a.w.dalam hadith tersebut dengan tegasnya menetapkan hukum larangan tersebut. Walau bagaimana pun, sejarah hukum syarak juga mencatatkan bahawa Umar r.a. memberi gaji atau bayaran kepada tiga orang guru mengaji al-Qur’an yang mengajar anak-anak di Madinah pada masanya. Mereka telah menerima gaji sebanyak lima belas dirham bagi setiap bulan. Al-Hasan juga memberi bayaran sebanyak sepuluh dirham kepada tuan guru mengajinya.[1] Maka diriwayatkan pula bahawa al-Hasan mengatakan :

“Ketika aku sudah pandai (membaca al-Qur’an), aku mengatakan kepada bapa saudaraku: “Hai bapa saudaraku, guru mengaji al-Qur’an itu meminta sesuatu.” Bapa saudara beliau menjelaskan pula: “Dulu mereka tidak menerima apa-apa bayaran. Berilah dia lima dirham.” Demikianlah aku merayu sampai aku memberinya sepuluh dirham.

Walau bagaimana pun, para fuqaha bagi setiap mazhab mereka berselisih pendapat dalam ibadah-ibadah selain solat, puasa dan haji seperti dalam hukum pengambilan atau pemberian upah kepada orang yang mengajar al-Qur’an, ilmu agama dan lain-lain.

Ulama Mazhab Hanafi terbahagi kepada dua golongan. Pertama adalah golongan mutaqadimin. Golongan ini berpendapat bahawa pengambilan upah dalam perkara-perkara ketaatan kepada Allah adalah tidak diharuskan. Antara hujah mereka adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Hendaklah kamu membaca al-Qur’an dan jangan kamu mencari makan dengannya.”

Golongan yang kedua pula adalah golongan mutakhirin telah menfatwakan keharusan mengambil upah dalam sesetengah ibadah dan keharusan ini hanya dalam keadaan darurat dan terdesak sahaja. Fatwa ini jelas menyalahi fatwa Imam Abu Hanifah sendiri dan fatwa dua orang muridnya iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad al-Syaybani. Bagi golongan ini, mereka telah mengharuskan upah mengajar al-Qur’an kerana dibimbangi pengajaran al-Qur’an akan diabaikan jika tidak diajar kepada umat Islam.

Di samping itu, golongan mutakhirin masih berpegang kepada fatwa yang tidak mengharuskan pengambilan upah bagi amalan-amalan yang tidak membawa ke tahap darurat atau mendesak seperti upah membaca al-Qur’an di atas kubur, di tempat kenduri, rumah-rumah anak yatim, tahlil dan sebagainya.

Selain itu, majoriti daripada fuqaha yang bermazhab Maliki menghukumkan harus mengambil upah berdasarkan hujah bahawa manusia memang berminat untuk mempelajari al-Qur’an dan terdapat hadith yang mengharuskannya menerusi sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Sesungguhnya perkara yang paling wajar untuk kamu mengambil upah terhadapnya adalah kitab Allah.”

Menurut fuqaha mazhab Syafi’e pula, berpendapat bahawa sah pengambilan upah bagi orang mengajar al-Qur’an, membaca al-Qur’an untuk orang mati dan sebagainya. Dari sudut mengajar al-Qur’an, upah tersebut mestilah berasarkan kepada tempoh. Misalnya, selama sebulan dan bukan pula berdasarkan jumlah ayat yang diajar oleh guru tersebut.

Menurut Mazhab Hanbali pula, tidak sah kontrak upah untuk melakukan ibadah seperti mengajar al-Qur’an, fiqh, hadith dan sebagainya. Pendapat ini adalah bersamaan dengan pendapat golongan mutaqadimin daripada mazhab Hanafi. Mereka berpendapat sah jika kontrak tersebut adalah ju’alah dan diharuskan jika habuan yang diambil atas asas waqaf untuk perkara-perkara ketaatan yang memberi manfaat seperti mengajarkan al-Qur’an untuk membantu melaksanakan perkara-perkara ketaatan.

Kesimpulannya, pemberian wang atau apa-apa material sebagai tukaran kepada tugas ibadah yang dijalankan adalah harus atas asas ju’alah atau pun waqaf.[2]



[1] Mohd Liki bin Hamid (2004). Hubungan Budaya dan Hukum : Tumpuan Khusus terhadap Perubahan Amalan Pertanian Padi di Kedah dan Kesannya kepada Ibadat Zakat Padi : Hukum Islam dan Budaya Tempatan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. Halaman 232-233

[2] Rushdi Ramli dan Luqman Hj. Abdullah (2004). Pemberian dan Penerimaan Wang Saguhati/Upah dalam Pelaksanaan Ibadah di Kalangan Masyarakat Melayu: Satu Penelitian : Hukum Islam dan Budaya Tempatan. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. Halaman 188.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan